Remaja lelaki perlu lebih berani jalani ujian talasemia
ARKIB : 08/05/2010
Remaja lelaki perlu lebih berani jalani ujian talasemia
KUALA LUMPUR 8 Mei - Golongan remaja terutama lelaki diminta tampil menjalani ujian saringan talasemia iaitu penyakit keturunan yang berpunca daripada kurangnya protein globin yang menjadi komponen hemoglobin dalam darah.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, kesedaran mereka mengenai penyakit itu masih rendah di mana hanya 20 peratus yang tampil melakukan ujian daripada keseluruhan 206,390 orang yang melakukan ujian saringan tahun lepas.
"Pada 2008, jumlah penduduk yang telah menjalani ujian talasemia adalah seramai 29,326 orang dan meningkat kepada 206,390 pada tahun lepas di mana daripada jumlah itu kita dapati hanya 20 peratus sahaja adalah dari kalangan lelaki.
"Jadi, di kesempatan ini saya menyeru remaja lelaki supaya tampil untuk menjalani ujian talasemia dan berharap cabaran ini dapat disahut demi membuktikan mereka adalah prihatin,” katanya dalam teks ucapannya yang dibacakan oleh Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Hasan Abdul Rahman pada perasmian sambutan Hari Talasemia Antarabangsa 2010 peringkat kebangsaan di sini hari ini.
Tiong Lai berkata, peringkat umur remaja dan awal dewasa adalah masa paling sesuai untuk menjalani ujian itu kerana intervensi kaunseling yang dijalankan pada usia tersebut adalah lebih berkesan.
Beliau berkata, program pencegahan talasemia melalui saringan penduduk boleh dilakukan di beberapa hospital terpilih khususnya hospital yang menyediakan rawatan pesakit talasemia disamping di 345 klinik kesihatan seluruh negara yang dilengkapkan dengan peralatan makmal bagi membolehkan saringan pembawa gen talasemia dijalankan.
Mengikut rekod Daftar Talasemia Kebangsaan, sebanyak 4,768 pesakit talasemia berdaftar sehingga kini berbanding kira-kira 2,500 orang pada 2004.
Katanya lagi, sekurang-kurangnya seorang daripada 20 rakyat negara ini merupakan pembawa talasemia atau kira-kira 600,000 dalam satu juta penduduk. - Bernama
© UTUSAN MELAYU (M) BERHAD, 46M, Jalan Lima Off Jalan Chan Sow Lin, 55200 Kuala Lumpur.
0 comments: